Popular Posts

Monday, 2 January 2012

[CERPEN] Cinta & Pengorbanan~~

Ruang legar koridor di kolej penginapan sesak dan agak bising. Aku hanya tersenyum, mungkin penat lelah kami memerah otak di dalam dewan peperiksaan sebentar tadi. Alhamdulillah, hari ini hari terakhir kami menjawab soalan peperiksaan. Ramai para pelajar sudah sibuk mengemas barang untuk pulang dan ada juga yang saling berkunjung ke kamar rakan-rakan. Aku sekadar mengemas apa yang perlu kerana aku akan pulang ke kampung halaman pada esok hari. Aku berdoa moga aku mendapat keputusan yang cemerlang dan layak menyambung pelajaran ke luar negara.
Aku sampai ke rumah setelah 3 jam berada di dalam bas. Aku memeluk erat kedua ibu bapaku dan adikku.Aku menyentuh perutku yang kosong dari kolej tadi.
“Kak Long dah berisi sikit” usik adikku Izzati.
“Ye la, Zati pun dah berisi sikit” balasku sambil mencuit pipinya.
“Sudah, jom makan. Kak Long mesti lapar kan atas bas tadi. Tak makan ke atas bas tadi” soal ibuku.
“Tak. Kak Long rasa macam ada orang nak pandang je macam mana kak long nak makan” ujarku sedikit senyum.
“Fikir bukan-bukan je Kak Long ni. Ada ker orang nak pandang” celah Zati adikku.
Aku hanya diam sambil meneruskan suapan. Aku sedar bila aku berada di luar, ada yang aneh memandangku mungkin sebab aku berniqab? Pernah aku ke ke cafeteria di kolej, ketika itu perutku sudah mintak diisi, kerana aku tidak mahu gastric yang aku alami dahulu berulang, aku cepat membeli makanan dan kebetulan pada waktu itu ramai pelajar yang baru balik dari kelas. Bukan aku perasan, malah Amalina teman sebiliku juga perasan yang mereka memandangku, mungkin untuk melihat bagaimana aku makan dengan berniqab. Aku hanya tersenyum kadang-kadang, berniqab memang tidak wajib, tetapi aku rasa tenang dan selesa dengan berniqab.
Aku bangun awal pagi, menolong emak menyediakan sarapan. Sungguh aku rindu dengan masakan emak. Setelah kami di meja makan abah diam memandangku. Abah menghantar pandangan yang sukar aku tafsirkan kepada Izati, adikku. Aku lihat Izzati cepat-cepat menghabiskan sisa makanannya dan terus ke dapur.
“Mardiyah” panggil abah. Abah memang gemar memanggil kami dengan nama penuh. Tapi cara abah memanggilku kali ini agak berlainan sekali.
“Ya abah”
“Abah ada hal sikit nak bincang dengan Kak Long, keputusan peperiksaan keluar bila?”
“Bulan hadapan insyaAllah abah”
“Ada orang merisik Kak Long”
Aku terpaku. Terkesima.
“Kak Long macam muda lagi je abah. Baru 21 tahun”
“Kak Long pernah dengar hadis nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Apabila datang kepadamu seorang lelaki yang kamu redai agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah anakmu itu. Jika tidak berbuat demikian, nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan di atas muka bumi”
Aku diam mengangguk. Tetapi persoalan yang berlegar dikepalaku siapa dia? Kenalkah aku dengan dirinya?
“Tapi Kak Long kan nak sambung belajar abah”
“Kita tunggu keputusan peperiksaan Kak Long dahulu”
Aku masuk ke kamar. Aku menangis, bukan kerana aku hendak melawan, abah juga tidak memaksa. Cuma aku memikirkan masa hadapanku kelak. Bagaimana aku ingin meneruskan tanggungjawabku kepada pelajaran jika aku terpaksa mengalas tanggungjawab sebagai seorang isteri. Mampukah aku?
Keputusan peperiksaan ku sudah ku terima. Aku berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti di United Kingdom dalam bidang Matematik. Aku sangat bersyukur, ibu menitiskan air mata sambil memelukku. Tetapi aku lihat abah hanya senyum memandangku. Begitulah sifat abah. Diam dan tenang.
Suasana sunyi di luar bilik, aku menghabiskan novel “Ayat-ayat cinta” yang aku pinjam dari Zati tadi. Tersenyum aku mengenangkan kisah Fahri dan Aisya. Tiba-tiba bunyi pintu bilikku diketuk. Ibu membuka pintu bilikku.
“Dah nak habis baca Kak Long” ibu menegurku.
“Belum lagi, baru mula tadi ibu. Diam kat luar, mana Zati dengan abah?”
“Abah ke surau, Zati ada kelas tambahan malam ini”
“Hurm” aku hanya mengiakan. Lain macam pula ibu malam ini.
“Abah dah cakap dengan Kak Long, pasal ada orang merisik?”
“Ya. Tapi ibu, Kak Long kan nak sambung belajar. Apa pendapat ibu?”
“Dia juga belajar di UK Kak Long”
“Oh..” aku agak terkejut.
“Dia ‘senior’ Kak Long di kolej dulu. Sekarang balik cuti semester, selalu jumpa dengan abah dekat surau tu. Ada juga abah jemput datang rumah, dia baru perasan Kak Long. Tengok gambar keluarga dekat luar tu”
Aku teringat gambar kami sekeluarga yang  tergantung di ruang tamu. Aku juga terasa ingin tahu siapa gelaran yang merisikku. Ibu menerangkan yang hajat si dia ingin berkahwin denganku dalam masa terdekat. Ibu banyak memberi nasihat dan menyuruh aku beristikharah.
Aku membuat keputusan untuk mengikut sahaja hajat ibu dan ayah. Setelah dua minggu aku berfikir dan berbincang dengan ibu aku akhirnya yakin dengan keputusanku. Menurut ibu tempat belajar Amar tidak jauh dengan tempatku nanti. Ibu dan ayah juga rasa senang untuk melepaskan aku ke luar Negara nanti jika aku sudah berteman. Abah dan ibu agak sibuk di dapur, aku tersenyum memandang abah yang sentiasa menolong ibu di dapur.
“Masak apa ibu hari ini” aku bertanya kepada ibu.
“Hari ini masak lebih sikit, ada tetamu nak datang”  jelas ibu.
“Kak Long, malam nanti keluarga Amar nak datang, bersiap lah” celah abah.
“Amar?” aku menyoal kembali.
“Yang merisik Kak Long”
Terkedu aku. Aku bersiap-siap dan tidak lupa memakai niqab. Ibu dan abah memahami kehendak hatiku yang selesa berniqab. Ketukan di luar pintu rumah membuatkan jantung aku berdegup dengan kencang. Tipu jika aku katakan yang aku tidak gementar. Sejuk rasanya tanganku. Aku menyalami ibu Amar, ibunya terus memelukku, aku jadi kaget dan aku hanya tersenyum pada ayah Amar. Amar dibelakang ayahnya hanya tunduk.
Setelah selesai makan aku dan Zati mencuci pinggan di dapur. Ibu kemudian memanggilku.
“Kak Long, abah ajak ke depan”
Aku mengikut ibu. Gementar rasa bila seluruh mata memandang ku.
“Amar, dah pernah tengok Mardiyah” abah bertanya kepada Amar.
Amar hanya menggngguk.
“Dalam gambar ya” abah berjenaka. Abah terus menerangkan yang Amar sekeluarga datang membawa sebentuk cincin tanda pinangan.
“Apabila salah seorang dari kalian melamar wanita, maka selagi dia boleh melihat apa yang dapat mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah ia.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2082].
Abah menyuruh aku membuka niqabku. Aku diam dan teragak-agak membuka niqabku untuk tatapan mereka. Aku tidak tahu apa perasaan mereka, tetapi tak lama kemudian aku terus menutup kembali niqabku. Cukuplah sekadar mereka melihat aku sekali lalu.
Kami sekeluarga terus berbincang tentang majlis perkahwinan dan perancangan kami selepas berkahwin nanti. Aku meminta untuk diadakan majlis yang serdehana cuma. Cukuplah untuk mengumumkan yang kami pasangan yang berkahwin.
Selepas 2 bulan kami berkahwin kami berangkat ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian. Aku dan Amar berada di universiti  yang berbeza, tetapi jarak antara universiti kami hanya 45 minit. Kami mengambil keputusan untuk duduk berasingan, aku ditempatkan di asrama manakala Amar di rumah sewa di kawasan universitinya. Cukup sedih untuk aku berpisah dengan Amar kerana sepanjang 2 bulan perkahwinan kami, aku sentiasa berada di sisinya. Jika ramai yang bertanya denganku tentang perasaan aku selepas berkahwin, aku dengan tersenyum akan berkata indahnya perasaan apabila bercinta dengan kekasih yang halal bagiku.
Kami kadang-kadang seolah pasangan yang baru berkenalan, dan banyak benda baru yang aku pelajari dari suamiku. Yang paling penting aku sudah punya imam untuk berjemaah, aku sudah punya guru untuk mengajar, aku sudah punya penasihat dan pendengar yang baik. Aku sangat-sangat bersyukur dikurniakan suami seperti Amar. Pernah aku mengusiknya bertanya kenapa dia boleh terpikat denganku sedangkan dia tidak pernah melihat wajahku.
“Seorang wanita itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis daripada madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tidak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut.” Jawapan Amar membuatkan aku jatuh cinta dengan suamiku sendiri.
Aku melihat ke arah jam tanganku. Berharap masa akan berlalu dengan cepat. Tidak sabar untuk aku berjumpa dengan suamiku. Peluang kami berjumpa hanya pada hujung minggu. Tetapi Amar tidak lupa untuk melefonku hari-hari. Aku hanya tersenyum memandang Amar menungguku di stesen bas. Aku terus menyalam tangan suamiku.
“Mardiyah sihat“ Amar memulakan bicara.
“Alhamdulillah, sihat. Abang?“
“Demam sikit nih“ Amar mengusikku
“Doktor pun demam ker?“ aku mengusik kembali.
Kami berdua tersenyum dan terus ke kedai makan berhampiran. Amar memesan makanan dan kami mengambil tempat hujung sekali.
„Abang ada hal sikit nak cakap dengan Mardiyah“ tutur Amar tenang
„Apa abang?“ aku seperti tidak sedap hati apabila Amar bercakap ‚ada hal‘ denganku.
“Minggu depan abang dan kawan-kawan ada misi ke Palestin. Kami sebagai ‘team medic’ disana. InsyaAllah abang pergi tak lama.” Amar merenung mataku.
Aku diam. Aku seperti berbelah bahagi. Aku tidak boleh menghalang suamiku. Aku teringat dengan nasihat abah yang wanita yang merelakan suaminya ke jalan Allah akan mendapat pahala. Amar pergi bukan untuk suka-suka tetapi untuk membuat kebajikan. Aku memujuk hatiku sendiri.
Aku hanya mengangguk. Tidak mampu berkata apa-apa. Aku bersiap-siap untuk pulang ke asramaku. Semasa kami di stesen bas, Amar mengenggam tanganku erat.
“Mardiyah, ingat jaga makan, jaga solat, jangan fikir banyak sangat. InsyaAllah abang akan telefon mardiyah dari sana”
“Tolong janji dengan abang. Walau apa pun yang berlaku Mardiyah kena kuat, jangan menangis. Janji?”
Aku  hanya mengangguk.
“Abang jaga diri” aku sudah sebak. Hanya air mata yang mampu mengambarkan perasaan aku ketika itu.
Sepanjang berada di dalam bas, aku hanya melayan perasaan sendiri. Aku rela dengan kehendak suamiku, dan di sudut hati kecilku aku sebenarnya berbangga dengan Amar.
Sudah sebulan Amar ke sana. Hanya sekali dia menelefonku, dan memberitahu yang dia selamat tiba. Tetapi selepas itu memang tidak ada khabar langsung dari Amar. Setiap hari selepas solat aku memohon doa kepada Allah moga Amar selamat di sana.
Ketukan di pintu membuatkan aku terjaga. Aku masih di tikar sembahyang. Terlelap.
“Mardiyah, kau ok? Dah makan” tanya Alia rakan sekelasku.
“Aku tak ada selera Alia”
“Kau jangan begitu. Makan lah. Kena ada tenaga“ Alia mengusap belakangku.
Aku hanya mengangguk dan mengambil makanan yang diberi Alia.
“Terima kasih Alia“
“Sama-sama. Kalau ada apa-apa telefon aku“
Aku meneruskan suapan makananku. Aku merenung ke arak laptopku, melihat kembali gambar-gambar aku dan Amar. Sampai pada satu gambar pemandangan yang aku rasa diedit oleh Amar. Aku membaca ayat itu dengan teliti.
“bila engkau memandang segalanya dari Tuhanmu,yang mencipta segalanya,yang menimpakan uijan,yang menjadikan sakit hatimu,yang membuat keinginanmu terhalang,serta menyusahkan hidupmu, pasti akan damailah hatimu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia,bukan Allah tidak tahu deritanya hidupmu,retaknya hatimu,tapi mungkin itulah yang Allah mahukan kerana Allah tahu hati yang sebeginilah lebih mudah lunak dan mudah dekat dan akrab denganNya.”
Aku beristighfar berkali-kali. Aku insan yang lemah, ini hanya ujian dari Allah kenapa begitu lemah sekali aku mejalaninya.  Tiba-tiba aku teringat dengan janjiku kepada Amar yang aku tidak akan menangis dan aku berjanji pada diriku sendiri aku akan tabah.
Tipu untuk aku mengatakan tiada langsung secebis rindu buat Amar. Tetapi aku akan belajar menjadi seorang isteri yang cekal dan tabah. Hari-hari aku tidak lupa untuk berdoa semoga tuhan panjangkan umur suamiku, semoga tuhan selamatkan suamiku di mana jua dia berada. Tetapi aku, aku sebagai hamba Allah harus redha dan tabah menjalani hidup.
Aku dan Alia bergegas mengemas beg. Kami baru sahaja selesai ujian Statitistik. Selesai sahaja ujian, Alia terus mengajak aku ke kafeteria. Kami terus keluar dari kelas sambil meluahkan rasa tentang ujian sebentar tadi. Begitulah yang selalu terjadi selepas pelajar-pelajar habis ujian. Kami tidak terkecuali. Kami berjalan agak laju menuju ke restoran, tetapi tiba-tiba aku berhenti. Kaku.
“Eh, Mardiyah. Kenapa?“ tanya Alia.
Aku hanya memandang susuk tubuh yang amat aku rindui. Dua bulan tidak mendengar suara, aku hanya kaku memandang dia. Aku menggosok mata, mengharapkan kelibat yang aku lihat bukan mimpi. Aku terus rebah.
Terasa sejuk di muka ku. Aku cuba membuka mata. Amar! Aku berada di pangkuan Amar.
“Mardiyah, abang dah balik“ tutur Amar perlahan.
Aku terus menangis, memanjat rasa syukur ke hadrat illahi.

No comments:

Post a Comment